PEREKA CIP TERKEMUKA SYNOPSYS DISIASAT ATAS DAKWAAN PERJANJIAN TIDAK SAH DENGAN HUAWEI
Amerika Syarikat sedang menjalankan siasatan ke atas Synopsys kerana disyaki melanggar embargo bagi urusan import dan eksport teknologi cip yang dikenakan ke atas beberapa syarikat dari China.
Synopsys yang berpangkalan di Amerika Syarikat perlu mendapatkan permit kelulusan terlebih dahulu sebelum menjalankan urusan dengan mana-mana organisasi yang diletakkan dalam Senarai Khas oleh Jabatan Perdagangan.
Synopys merupakan sebuah konglomerat yang menghasilkan teknologi cip dan perisian yang berpangkalan di Silicon Valley. Siasatan sedang dijalankan ke atas mereka untuk mengenalpasti sama ada Synopys telah melanggar peraturan yang ditetapkan Jabatan Perdagangan.
Berdasarkan laporan Bloomberg, Synopsys disyaki mempunyai hubungan perdagangan dengan anak syarikat Huawei, HiSilicon dan SMIC tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu. Kami dimaklumkan, Synopys berkemungkinan telah menyerahkan teknologi cip dan perisian kepada HiSilicon untuk menghasilkan produk semikonduktor di kilang-kilang milik SMIC.
HiSilicon dan SMIC telah diletakkan dalam Senarai Khas atas faktor keselamatan siber.
Dalam laporan bagi tahun kewangan berakhir Oktober 2021 yang diaudit SEC, Synopsys mendedahkan bahawa mereka telah menerima subpoena daripada Biro Industri dan Keselamatan, Jabatan Perdagangan supaya mendedahkan intipati perjanjian perdagangan melibatkan kedua-dua syarikat China tersebut.
“Disebabkan model perniagaan kami melibatkan penghasilan cip dan perisian, pihak kerajaan berhak untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang hubungan perniagaan kami dengan entiti tertentu dari negara asing,” menurut laporan Synopsys yang dihantar ke SEC.
“Misalnya, kami telah menerima subpoena daripada Jabatan Perdagangan yang meminta maklumat lanjut mengenai hubungan kami dengan syarikat-syarikat tertentu dari China.”
“Kami percaya bahawa urusan perniagaan yang dijalankan adalah mengikut kesemua undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dan kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Perdagangan untuk menjawab subpoena tersebut. Walaubagaimanapun, kami tidak pasti tentang hasil siasatan yang sedang dijalankan serta kesannya kepada operasi dan kedudukan kewangan kami.”
Jurucakap Synopsys telah memaklumkan kepada kami bahawa mereka telah menerima subpoena pada November. “Beberapa syarikat termasuk Synopsys telah menerima subpoena dan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan,” jurucakap Synopsys memberitahu The Register dalam satu kenyataan media Khamis lalu.
Walaupun laporan kewangan Synopsys telah dihantar ke SEC Disember tahun lepas, laporan media sepanjang minggu ini berkenaan subpoena tersebut, serta pendedahan tentang hubungan mereka dengan Huawei dan syarikat-syarikat di dalam Senarai Khas telah menyaksikan harga saham mereka menjunam 3.90 peratus setakat ini.
Produk semikonduktor adalah mustahak bagi keselamatan dan pembangunan ekonomi Amerika Syarikat. Memandangkan bekalan barangan elektronik global terbatas disebabkan COVID-19 dan bencana alam, syarikat awam dan swasta mula memfokuskan penghasilan cip di Amerika Syarikat. Perkembangan ini dilihat mampu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pembekal dari negara asing.
Kepimpinan Joe Biden berharap agar dana sebanyak $52 billion dapat diluluskan oleh Kongres dan disuntik ke dalam kerja-kerja pengkajian dan penghasilan teknologi cip sekaligus mengurangkan kebergantungan luar.
Penganalisis ekonomi menyifatkan persaingan dalam penghasilan produk semikonduktor telah menyusut beberapa dekad belakangan ini. Pada tahun 1990, Amerika Syarikat menguasai 40 peratus pasaran global dalam penghasilan cip, namun jumlah itu menurun kepada 12 peratus pada tahun 2020.
The Register telah meminta komen daripada Jabatan Perdagangan.
Maklumat tambahan
“Pihak Jabatan Perdagangan tidak boleh mengesahkan sama ada siasatan sedang dijalankan ke atas syarikat tertentu. Walaubagaimanapun, pihak kami sentiasa menyiasat sebarang salah laku yang dilaporkan, termasuklah urusan perniagaan yang dijalankan dengan mana-mana syarikat yang diletakkkan dalam Senarai Khas,” jurucakap Jabatan Perdagangan memberitahu kami.
“Kesemua tindakan yang diambil hasil daripada siasatan yang dijalankan akan dimaklumkan kepada umum selepas siasatan selesai.”

Comments
Post a Comment